Rabu, 8 Disember 2010

Geografi Club




Sains alam sekitar ialah kajian tentang saling bertindakbalas antara juzuk-juzuk fizik, kimia, dan biologi di dalam alam semula jadi. Tumpuannya adalah kepada pencemaran dan kemerosotan persekitaran yang diakibatkan oleh kegiatan-kegiatan manusia, serta kesannya terhadap biokepelbagaian. Sains ini juga mengkaji kemampanan alam sekitar terhadap pembangunan, baik tempatan mahupun sejagat.
Sains alam sekitar memang merupakan satu bidang antara disiplin yang bukan sahaja memperoleh bahan-bahan pengetahuannya daripada bidang-bidang sains teras, tetapi juga daripada kajian-kajian bukan sains seperti ekonomi, undang-undang, dan sains sosial. Fizik dipergunakan untuk memahami fluks saling tindak antara bahan-bahan dan tenaga, serta untuk membina model-model matematik bagi fenomena-fenomena alam sekitar. Kimia digunakan untuk memahami saling-saling tindak molekul dalam sistem-sistem alamiah, manakala biologi merupakan asas untuk memerihalkan kesan-kesan dalam alam tumbuhan dan haiwan.
Walaupun konsep sains alam sekitar telah wujud berabad-abad lagi, konsep ini baru menjadi sebuah bidang penyelidikan saintifik yang aktif pada dekad 1960-an dan 1970-an setelah didorong oleh:
  1. keperluan untuk sebuah pasukan berbilang disiplin yang besar untuk menganalisis masalah-masalah alam sekitar yang rumit;
  2. ketibaan undang-undang alam sekitar substantif yang memerlukan protokol-protokol penyelidikan alam sekitar yang tertentu; dan
  3. kesedaran awam yang semakin bertambah terhadap keperluan untuk mengambil tindakan tentang masalah-masalah alam sekitar.